Thursday, December 1, 2011

KEPENTINGAN BUDAYA SEKOLAH

Peranan budaya sekolah memang tidak dapat dinafikan lagi, budaya sekolah banyak memberi pengaruh dan impak kepada warga sekolah terutamanya dari segi pencapaian, emosi dan  juga tingkah laku.  Kemajuan dan pencapaian sekolah dapat ditingkatkan melalui penglibatan, kerjasama dan juga kepercayaan.  Menurut (Comer, 1980) pendidik perlu bekerjasama bagi melahirkan sekolah yang produktif dan seronok dihuni.  Research for Better School telah melakukan kajian pada 200 buah sekolah cemerlang di Amerika Syarikat dan telah menyenaraikan beberapa ciri budaya yang dimiliki oleh sekolah-sekolah tersebut iaitu sekolah menyediakan kemudahan-kemudahan yang maksimum kepada pelajar, kurikulum berfokus kepada isi kandungan dan kemahiran, kepimpinan menyediakan visi dan sumber, guru-guru disediakan dengan sumber-sumber yang mencukupi dan sekolah tidak menerima sebarang alasan (Yahya bin Don, Aziah Ismail, Yaakob Daud, 2006).  Semua ciri-ciri ini mempunyai hubungan dengan budaya sekolah yang positif dan seimbang.  

            Yahya bin Don, Aziah Ismail, Yaakob Daud (2006) menyatakan kepentingan budaya sekolah dijelaskan dan diperkukuhkan lagi oleh The Southwest educational Laboratory (SEDL) iaitu membantu usaha menambah baik sekolah bagi pelajar yang berisiko, menyediakan fokus dan tujuan sekolah yang jelas kerana budaya menjadi gam yang mengikat ahli bersama bagi menjayakan misi sekolah, budaya juga boleh menjadi penghalang kepada kejayaan sekolah dan budaya boleh mewujudkan penindasan dan diskriminasi kepada sub kumpulan dalam sekolah, sekolah yang menginginkan kemajuan perlu memberi fokus kepada nilai-nilai, kepercayaan-kepercayaan dan norma-norma serta persekitaran dan juga perlu menitikberatkan perubahan yang fundamental.  Kepentingan tentang budaya di sekolah juga telah dipersetujui dan diperkukuhkan lagi dengan Stolp (1995) yang menjelaskan budaya sekolah yang sihat mempunyai hubungan yang kuat dengan pencapaian akademik dan motivasi, produktiviti dan kepuasan guru.  Selain itu kepentingan budaya sekolah juga terbukti melalui kajian demi kajian yang menunjukkan sekiranya budaya sekolah tidak menyokong pembaharuan yang diperkenalkan, pembaharuan itu akan gagal. 


BUDAYA SEKOLAH MENGHALANG KEPADA SESUATU PERUBAHAN 
Namun di sebalik kepentingannya, budaya sekolah juga boleh menjadi penghalang kepada perubahan yang ingin dilakukan jika perubahan tersebut tidak selari dengan budaya yang telah sedia wujud.  Patterson, Purkey dan Parker (1986) menjelaskan budaya sekolah akan memberikan kesan terutamanya kepada tingkah laku dan pencapaian pelajar di sekolah rendah dan menengah, budaya sekolah tidak turun dari langit tetapi ia dibentuk dan dimanipulasikan oleh orang dalam sekolah, budaya adalah unik, justeru tidak mungkin sesebuah sekolah mempunyai budaya yang sama dengan budaya yang lain, menyediakan fokus dan tujuan yang jelas, budaya menjadikan ikatan antara warga sekolah demi memenuhi misi sekolah.  


FAKTOR PENGHALANG PEMBENTUKAN BUDAYA SEKOLAH 

Selain itu, terdapat juga beberapa perkara yang menjadi penghalang kepada pembentukan budaya yang baru di sekolah di antaranya ialah sesuatu budaya yang telah wujud memang sukar untuk diubah, disiplin penghalang besar kepada kejayaan sekolah, bekerja dengan orang yang terpaksa dan birokrasi pendidikan menghalang pendidikan awam berkembang serta terdapat guru yang menyatakan bahawa mereka telah melakukan yang terbaik di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Di samping itu juga, Patterson, Purkey dan Parker (1986) menyatakan bahawa terdapat beberapa andaian yang selalu dilakukan oleh warga pendidik yang menjadi penghalang kepada pembentukan baru budaya di sekolah iaitu sistem sekolah dipandu oleh matlamat yang sama, kuasa dalam sistem sekolah terletak di pihak atasan (mereka menafikan perkongsian kuasa), alternatif ataupun modifikasi kepada penyelesaian masalah tidak dicari, untuk setiap masalah hanya ada satu penyelesaian dan mempercayai bahawa masyarakat tidak banyak membantu sistem sekolah dan menafikan peranan ibu bapa di sekolah.  Semua andaian-andaian ini telah mempengaruhi tindakan warga sekolah dan menjadikan sekolah mundur. 

 Justeru itu Patterson, Purkey dan Parker (1986) telah memberikan beberapa saranan bagi membaiki andaian-andaian tersebut iaitu kuasa di sekolah perlu diagihkan kepada segala lapisan organisasi, keputusan yang dibuat adalah satu proses tawar-menawar ke arah mencari penyelesaian yang terbaik dan memuaskan ramai pihak, masyarakat sebenarnya amat berpengaruh dan kadangkala dengan cara yang tidak dijangka serta pelbagai cara yang digunakan oleh guru bagi mengajar dengan berkesan.  

Kesimpulannya, Bart (2002) menjelaskan segala inovasi dengan meletakkan budaya sebagai piawai yang tinggi tidak banyak membawa kejayaan kecuali pentadbir dan guru berusaha mengubah budaya sekolah.  Segala inovasi dan piawai yang ditetapkan haruslah perlu disesuaikan dengan elemen-elemen yang telah sedia ada supaya budaya dan matlamat sekolah dapat bergerak dengan seiring selaras dengan impian sekolah. 

No comments:

Post a Comment