Monday, December 5, 2011

BUDAYA SEKOLAH : PENGENALAN

Definisi Budaya
Menurut Deal dan Peterson(1999), John(2010) dan Garatt(1990), budaya ialah entiti keseluruhan yang kompleks. Ia merangkumi aspek-aspek seperti pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, norma, adat resam dan kemahiran-kemahiran lain serta kebiasaan yang diwarisi ataupun diperoleh dan diaplikasi di dalam kehidupan. Kesemua elemen ini adalah penting dalam menghuraikan sesuatu perkara ataupun perlakuan (Deal dan Petterson, 1999). Manakala, menurut Ma’rof Redzuan dan rakan-rakan (2001) pula menghuraikan budaya sebagai fabrik masyarakat yang mengikat ahli-ahli masyarakat dan institusinya melalui set matlamat dan nilai yang disediakan oleh budaya masyarakat itu sendiri. Ia juga lebih dikenali sebagai concensual dan holistic (menyeluruh).

Definisi Budaya Sekolah
Maksud budaya sekolah menurut Banks dan Banks(1993), Deal dan Peterson (1998) ialah sistem sosial yang mempunyai budaya yang tersendiri. Ia terdiri dari norma institusi, struktur sosial, kepercayaan, nilai, simbol, tradisi, matlamat dan tujuan yang tersendiri untuk membentuk organisasi tersendiri. Berdasarkan kajian Budaya Sekolah Rendah: Hubungannya Dengan Kepemimpinan, Komitmen Organisasi Dan Pencapaian Akademik oleh Yaakob, 2007. Menurut Hopkins (2005), kajian-kajian menunjukkan salah satu faktor penghalang kepada pencapaian sekolah ialah budaya organisasi sekolah. Justeru, reformasi pendidikan harus memberi fokus kepada budaya terlebih dahulu sekiranya mutu pendidikan hendak ditingkatkan. Sekolah-sekolah di Malaysia mempunyai persamaan daripada segi, kurikulum, bentuk bangunan, kelayakan guru, dan prasarana. Namun yang membezakan sekolah ialah unsur budaya sekolah dan unsur inilah yang dikatakan penentu pada keberkesanan sekolah (Bolman & Deal, 1991; Huberman, 1992; Sharifah Md Nor, 2000). Memandangkan budaya dibentuk oleh warganya, maka budaya boleh berubah dan orang yang paling berpengaruh untuk mengubah dan mencorakkan budaya sekolah ialah kepemimpinan sekolah (Deal & Peterson, 1999; Sergiovanni, 2000).

Sifat budaya sekolah
Melalui definisi-definisi di atas, terdapat beberapa sifat yang dapat kita pastikan dalam membentuk budaya sekolah. Setiap sifat dan dalam rangkaian budaya mempunyai fungsi dan peranan serta pengertian yang tersendiri yang menjadi asas sekolah. Maksud yang tersirat dalam sifat-sifat budaya sekolah menurut Shatar Sabran (2001) adalah seperti simbol, norma yang terdiri daripada Mores dan resam, nilai, kepercayaan dan ritual, bahasa, tradisi dan perayaan, konvensi dan andaian dan pengetahuan.

Faktor-faktor yang mempengaruhi budaya sekolah
Daripada yang kita ketahui, setiap sekolah mempunyai budaya yang tersendiri yang membentuk sistem yang tersendiri. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi dalam membentuk budaya sekolah. Antara faktor-faktornya ialah nilai dan misi, struktur organisasi, komunikasi yang berkesan, persekitaran kerja, pemilihan dan pengambilan pekerja, perancangan kurikulum, belanjawan dan pengurusan sumber, sistem nasihat dan disiplin dan komuniti.

Definisi visi, misi dan nilai
Visi ialah tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan masa depan dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi Empat). Visi juga merupakan matlamat sekolah yang berorientasikan pencapaian. Misi ialah memberi arah tuju dan tujuan sekolah yang nyata. Ia adalah cara merancang pelan operasi bagi mencapai objektif dan sasaran oleh masyarakat sekolah. Nilai adalah bagaimana sifat-sifat dapat dicapai.

Nilai dan visi mempengaruhi budaya sekolah.
Budaya sekolah merupakan elemen yang penting dalam sesebuah sekolah dan dipengaruhi oleh nilai dan kepercayaan yang menjadi asas dam visi sekolah. Selain itu, struktur dan sistem sekolah membolehkan sekolah memilih cara bagaimana ia menjalankan aktiviti visi. Visi sekolah terdapat dalam pernyataan dasar sekolah yang timbul daripada nilai dan kepercayaan sekolah. Visi dan misi sangat penting di dalam sesebuah sekolah, ini merupakan matlamat sekolah dan hala tuju sekolah sesebuah sekolah. Visi dan misi mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dalam membentuk wawasan sekolah dan merupakan pemangkin setiap warga sekolah untuk mencapainya. Oleh itu, nilai dan visi merupakan pengaruh yang penting dalam membentuk budaya sekolah dan  tanggungjawab warga sekolah untuk mencapainya. Ini adalah kerana nilai dan visi adalah cermin sesebuah sekolah tersebut.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment