Saturday, December 3, 2011

BUDAYA SEKOLAH : FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHINYA


 
Faktor Kepimpinan Sekolah
Menurut Porth (2000), budaya sesebuah sekolah banyak dipengaruhi oleh sikap pemimpinnya. Pemimpin yang akan menentukan matlamat dan hala tuju sekolah tersebut. Pemimpin yang bersemangat tinggi , sedar tanggungjawab beliau kepada staf, murid, ibubapa dan masyarakat , sedar tanggungjawab kepada bangsa dan masyarakat sudah tentu akan memainkan peranan untuk membentuk budaya kerja yang cekap dan seterusnya budaya sekolah yang cemerlang. Pemimpin sekolah perlu memastikan keperluan semua guru dan aspek kesediaan di ambil perhatian. Usaha untuk membentuk budaya sekolah gaya kepimpinan juga perlu berubah dari autokratik kepada distributif. Pemimpin yang mengamalkan perkongsian kepimpinan akan melihat keupayaan, kebolehan subordinatnya sebagai satu aset untuk membentuk budaya kerja profesional dan prestasi tinggi. Hussein Mamood (1993), mengatakan kejayaan dan kegagalan sesebuah sekolah di Malaysia banyak bergantung kepada pihak sekolah iaitu guru besar, guru-guru tetapi kepimpinan guru besar adalah dikenalpasti sebagai pemboleh ubah yang penting sekali yang mempengaruhi kualiti dan kuantiti hasil sekolah.

Disokong  kajian Huber (2004) sekolah yang diklasifikasikan sebagai berjaya mempunyai pemimpin sekolah yang kompeten dan sebaliknya sekolah yang tidak berjaya, tidak mempunyai pemimpin sedemikian. Lewis dan rakan-rakan (2008), mencadangkan lima set amalan yang membentuk teras asas amalan kepimpinan yang berjaya iaitu menetapkan hala tuju, membangunkan keupayaan manusia, mereka bentuk semula organisasi, mengurus program pembelajaran, dan perilaku kepimpinan. Pertama, menetapkan hala tuju organisasi di mana pemimpin yang menetapkan hala tuju yang jelas akan memberikan impak kepimpinan yang besar. Terdapat banyak masalah yang timbul sekiranya pemimpin sekolah tidak menjalankan peranannya dan  menyerahkan tanggungjawab beliau di sekolah kepada pekerja-pekerja di bawahnya. Fenomena ini akan membentuk satu budaya kerja yang tidak cekap dan selaras. Kerjasama antara staf sukar dibentuk kerana setiap orang mempunyai pelbagai pendapat. Pelbagai masalah akan timbul sekiranya ketua dalam organisasi tersebut tidak memainkan peranan beliau.

Faktor Kepimpinan Guru
Dalin (1993) juga menyarankan individu yang pertama perlu berubah dalam pembentukan sesebuah budaya ialah  guru. Kesediaan guru untuk berubah mencari, belajar dan menguasai ilmu baru akan meningkatkan keupayaan, kebolehan, kredibiliti guru untuk merubah budaya pembelajaran murid secara keseluruhannya. Kebiasaannya, pelajar menjadikan guru sebagai “role model ” mereka kerana mereka menganggap guru sebagai golongan yang berpendidikan dan berfikiran jauh ke hadapan. Stolp (1995), kepimpinan guru dapat mempengaruhi pelajar ke arah situasi pembelajaran yang menggalakkan serta membentuk cara budaya pelajar yang sesuai. Tambahan pula, pengaruh guru terhadap pelajar sangat besar sehinggakan kadangkala kepercayaan yang diberikan oleh pelajar kepada mereka tinggi berbanding daripada ibu bapa sendiri. 

 Menurut Bath(2001) guru adalah pemimpin yang berperanan sebagai agen perubahan. Guru melakukan perubahan ke atas sekolah dan bilik darjah. Selain itu, guru juga memainkan peranan sebagai pemimpin, inventor, pengajar, pengurus dan fasilitator kepada pelajar. Melalui peranan-peranan  tersebut, secara tidak langsung guru dapat menggabungkan elemen budaya seperti nilai, norma, bahasa, kepercayaan, simbol, pengetahuan dan lain-lain. Apabila sifat budaya yang diterapkan oleh guru menjadi ikutan pelajar, maka amalan ini akan membina budaya sekolah

Faktor Disiplin Sekolah
Abdullah Sani Yahaya (2003), budaya sekolah amat berkait rapat dengan disiplin sekolah. Jika budaya sekolah baik, maka wujudlah disiplin yang baik dengan zero defect dalam semua aktiviti pendidikan, iaitu tiada masalah P&P, tiada konflik, tiada pelanggaran disiplin, tiada masalah keceriaan sekolah dan sebagainya. Terdapat banyak masalah disiplin yang sering dilakukan oleh pelajar. Salah laku yang ditunjukkan oleh pelajar banyak ragam seperti datang lambat ke sekolah, ponteng kelas, mencalarkan kereta guru, tidak memakai lencana sekolah dan tidak menghormati guru. Semuanya melibatkan masalah disiplin yang kecil dan masih boleh diperbaiki di mana boleh dikatakan pelajar ini adalah pelajar nakal. Tetapi berlainan pula dengan kes memukul guru, mengugut bunuh, merokok, menghisap dadah atau ganja, merompak dan banyak lagi yang belum didedahkan. Kebiasaannya, apabila pelajar terlibat dengan masalah disiplin akan menyebabkan mereka  hilang minat untuk belajar apatah lagi memikirkan masa depan. 

Menurut Tajul Ariffin (1990), masalah kemerosotan akhlak dan disiplin pelajar sering ditimbulkan. Masalah ini sekaligus membawa gambaran negatif kepada sistem pelajaran kita. Punca utama masalah ini ialah penekanan konsep pelajaran yang keterlaluan kepada isi pelajaran, lulus periksa, pengkhususan yang terhad dan menumpukan kepada perkembangan intelek dan kemahiran semata-mata. Persoalan pembinaan sikap, akhlak dan disiplin diabaikan. Jadi, pelaksanaan disiplin atau peraturan sekolah adalah penting untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang selesa dan harmonis. Sekolah mempunyai suasana disiplin yang teratur tanpa perlu membina peraturan ketat, tenang tanpa penindasan yang secara amnya adalah selesa untuk suasana proses pembelajaran.  Ibrahim Mamat (2001), proses penyerapan disiplin yang dilaksanakan perlu mengambil kira 4 perkara iaitu matlamat, corak, kaedah dan kesan. Matlamat akhir yang ditekankan ialah mewujudkan pelajar seimbang yang serasi dengan masyarakat dan bukan yang mengenetepikan segala nilai dan norma yang dianuti

1 comment: