IKLIM & PERSEKITARAN SEKOLAH
Sudah menjadi fitrah setiap manusia yang cinta akan sesuatu yang cantik, bersih dan ceria. Begitulah juga dengan pelajar-pelajar sekolah yang memerlukan persekitaran sekolah yang baik bagi merangsang pembentukan jiwa yang tenang dan aman dalam menimba ilmu pengetahuan. Jadi tidak hairanlah mengapa pihak pengurusan sekolah amat menekankan aspek iklim dan persekitaran sekolah yang baik. Mana mungkin pelajar dapat belajar dengan tenteram sekiranya persekitaran sekolahnya kucar kacir, kotor, berbau dan bising. Di tambah pula dengan hubungan antara pelajar dengan guru yang sentiasa tegang, guru yang tidak mesra, sikap pelajar yang nakal dan suka bergaduh. Hal ini boleh menyumbang ke arah pemerosotan prestasi pelajar, masalah ponteng dan disiplin pelajar yang sukar untuk dibendung kesan daripada iklim dan persekitaran sekolah yang negatif. Pusat Perkembangan Kurikulum (1981) mendefinisikan ‘iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik di mana keadaan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar’. Sebuah sekolah boleh mengalami iklim positif dan negatif (Smith, 1995). Pada kebiasaanya, sebuah sekolah yang iklimnya dianggap positif mempunyai ciri-ciri fizikal sekolah yang bersih dan menarik, hubungan sosial yang baik antara semua warga sekolah serta suasana kerja yang produktif. Manakala iklim negatif atau tertutup lazimnya mempunyai keadaan sekolah yang kucar-kacir, kurang selamat, tidak tenteram dan teratur, malah sering menghadapi konflik dan masalah disiplin (Mok Soon Sang, 2003).
Usaha untuk mewujudkan suatu iklim yang sihat amat penting dalam membina sekolah yang berkesan. Salah satu aspek penting dalam iklim persekolahan adalah faktor keceriaan. Menurut Kamus Dewan, ceria dapat diertikan sebagai sesuatu yang cantik, bersih, suci dan murni dalam sesuatu ruang atau kawasan tertentu. Manakala menceriakan bermaksud menjadikan sesuatu ruang atau kawasan tertentu kelihatan ceria, bersih, dan cantik dengan mengindahkannya, memurnikan, menyucikan serta mendidik dan memelihara. Oleh hal yang demikian, semua warga sekolah patut berganding bahu dalam mewujudkan iklim sekolah yang positif dengan mengindahkan kawasan sekolah seperti menanam pokok-pokok bunga, memelihara kebersihan, melukis mural yang sesuai serta menghiasi bilik darjah dengan pelbagai bahan pengajaran yang menarik (Abdullah Sani bin Yahya, 2007). Sekiranya keceriaan sekolah tidak dijaga, hal ini akan mewujudkan suasana sekolah yang ‘mati’ dan membosankan apabila kita menjejakkan kaki ke kawasan sekolah tersebut. Dengan keadaan sekolah yang tidak teratur, rumput-rumput tumbuh meliar dan panjang, kereta dan basikal yang tidak tersusun, bilik darjah, tandas dan makmal yang kotor, cermin-cermin tingkap yang penuh dengan debu, longkang yang tersumbat dan berbau busuk serta kawasan sekolah yang penuh dengan sampah sarap. Iklim sekolah yang sebegini akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah seterusnya menggambarkan bagaimana sikap dan budaya negatif warga sekolah tersebut.
Pada amnya, iklim dan persekitaran sekolah akan membawa pengaruh yang penting terhadap pembentukan tingkah laku, imej mental, aspirasi dan interaksi sosial bagi anggota-anggota di dalamnya (Abdullah Sani bin Yahya, 2007). Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa sekolah yang berpencapaiaan tinggi mempunyai tahap keceriaan yang lebih baik berbanding sekolah yang persekitarannya kurang ceria (Mohd Redzauddin bin Ismail, 2008). Oleh hal yang demikian, suasana dan iklim sekolah adalah amat penting dalam membantu pelajar untuk belajar dengan tenteram dan selesa. Selain itu, apabila kawasan persekitaran sekolah yang cantik dan ceria, pelajar tidak akan jemu untuk hadir ke sekolah lagi kerana merasa bahagia berada di kawasan sekolah. Hal ini bukan sahaja dapat mengelakkan masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar malah masalah disiplin pelajar dapat dikurangkan kerana emosi pelajar tidak terganggu. Dalam masa yang sama, sesebuah sekolah yang cantik dan menarik pasti akan mendapat pujian daripada pelbagai pihak terutamanya ibu bapa pelajar yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Mereka akan bertambah yakin dengan pihak pentadbiran sekolah yang mampu mewujudkan suasana sekolah yang kondusif bagi membantu proses pembelajaran anak-anak mereka.
Sememangnya sudah menjadi impian untuk setiap warga sekolah untuk menjadikan sekolah masing-masing yang terbaik di antara yang terbaik. Tetapi tidak dinafikan terdapat halangan-halangan tertentu dalam merealisasikan hasrat tersebut. Salah satu halangan tehadap melaksanakan sesuatu projek keceriaan biasanya timbul daripada masalah kewangan. Dalam hal ini, semua pihak patut bekerjasama termasuklah, pengetua, guru-guru, staf-staf sekolah, para pelajar dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Pihak sekolah perlu berusaha mencari penaja, pelajar pula boleh menjalankan kutipan derma melalui program-program tertentu, guru-guru pula membantu para pelajar menjalankan program-program amal. Selain itu, gotong-royong secara berkala, pertandingan keceriaan kelas, membersihkan kawasan sekolah 5 minit sebelum kelas bermula, mampu memastikan kebersihan dan keceriaan kelas di tahap yang baik. Kadang kala halangan untuk mewujudkan budaya cinta akan kebersihan dan keceriaan sekolah adalah berpunca daripada segelintir guru dan para pelajar yang enggan memberikan kerjasama. Oleh itu, sikap dan gaya kepimpinan pihak pengurusan sekolah yang berwibawa seharusnya mampu menangani halangan ini dengan sebaiknya. Sekiranya iklim dan persekitaran sekolah dalam keadaan yang bersih dan ceria, sudah pasti motivasi dan prestasi pelajar dapat ditingkatkan ke tahap yang optimum seterusnya mewujudkan budaya sekolah yang positif.
assalamualaikum
ReplyDeletealhamdulillah, artikel ni sangat membantu saya dalam assignment saya.
terima kasih
Sahara Casino Review - Slots, Machines and Games
ReplyDeleteSahara Casino is a gambling establishment with a 메리트카지노 high level of 샌즈카지노 gaming, providing a casino with a great variety of games หารายได้เสริม and lots of fun.