Monday, December 5, 2011

BUDAYA SEKOLAH : PENGENALAN

Definisi Budaya
Menurut Deal dan Peterson(1999), John(2010) dan Garatt(1990), budaya ialah entiti keseluruhan yang kompleks. Ia merangkumi aspek-aspek seperti pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, norma, adat resam dan kemahiran-kemahiran lain serta kebiasaan yang diwarisi ataupun diperoleh dan diaplikasi di dalam kehidupan. Kesemua elemen ini adalah penting dalam menghuraikan sesuatu perkara ataupun perlakuan (Deal dan Petterson, 1999). Manakala, menurut Ma’rof Redzuan dan rakan-rakan (2001) pula menghuraikan budaya sebagai fabrik masyarakat yang mengikat ahli-ahli masyarakat dan institusinya melalui set matlamat dan nilai yang disediakan oleh budaya masyarakat itu sendiri. Ia juga lebih dikenali sebagai concensual dan holistic (menyeluruh).

Definisi Budaya Sekolah
Maksud budaya sekolah menurut Banks dan Banks(1993), Deal dan Peterson (1998) ialah sistem sosial yang mempunyai budaya yang tersendiri. Ia terdiri dari norma institusi, struktur sosial, kepercayaan, nilai, simbol, tradisi, matlamat dan tujuan yang tersendiri untuk membentuk organisasi tersendiri. Berdasarkan kajian Budaya Sekolah Rendah: Hubungannya Dengan Kepemimpinan, Komitmen Organisasi Dan Pencapaian Akademik oleh Yaakob, 2007. Menurut Hopkins (2005), kajian-kajian menunjukkan salah satu faktor penghalang kepada pencapaian sekolah ialah budaya organisasi sekolah. Justeru, reformasi pendidikan harus memberi fokus kepada budaya terlebih dahulu sekiranya mutu pendidikan hendak ditingkatkan. Sekolah-sekolah di Malaysia mempunyai persamaan daripada segi, kurikulum, bentuk bangunan, kelayakan guru, dan prasarana. Namun yang membezakan sekolah ialah unsur budaya sekolah dan unsur inilah yang dikatakan penentu pada keberkesanan sekolah (Bolman & Deal, 1991; Huberman, 1992; Sharifah Md Nor, 2000). Memandangkan budaya dibentuk oleh warganya, maka budaya boleh berubah dan orang yang paling berpengaruh untuk mengubah dan mencorakkan budaya sekolah ialah kepemimpinan sekolah (Deal & Peterson, 1999; Sergiovanni, 2000).

Sifat budaya sekolah
Melalui definisi-definisi di atas, terdapat beberapa sifat yang dapat kita pastikan dalam membentuk budaya sekolah. Setiap sifat dan dalam rangkaian budaya mempunyai fungsi dan peranan serta pengertian yang tersendiri yang menjadi asas sekolah. Maksud yang tersirat dalam sifat-sifat budaya sekolah menurut Shatar Sabran (2001) adalah seperti simbol, norma yang terdiri daripada Mores dan resam, nilai, kepercayaan dan ritual, bahasa, tradisi dan perayaan, konvensi dan andaian dan pengetahuan.

Faktor-faktor yang mempengaruhi budaya sekolah
Daripada yang kita ketahui, setiap sekolah mempunyai budaya yang tersendiri yang membentuk sistem yang tersendiri. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi dalam membentuk budaya sekolah. Antara faktor-faktornya ialah nilai dan misi, struktur organisasi, komunikasi yang berkesan, persekitaran kerja, pemilihan dan pengambilan pekerja, perancangan kurikulum, belanjawan dan pengurusan sumber, sistem nasihat dan disiplin dan komuniti.

Definisi visi, misi dan nilai
Visi ialah tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan masa depan dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi Empat). Visi juga merupakan matlamat sekolah yang berorientasikan pencapaian. Misi ialah memberi arah tuju dan tujuan sekolah yang nyata. Ia adalah cara merancang pelan operasi bagi mencapai objektif dan sasaran oleh masyarakat sekolah. Nilai adalah bagaimana sifat-sifat dapat dicapai.

Nilai dan visi mempengaruhi budaya sekolah.
Budaya sekolah merupakan elemen yang penting dalam sesebuah sekolah dan dipengaruhi oleh nilai dan kepercayaan yang menjadi asas dam visi sekolah. Selain itu, struktur dan sistem sekolah membolehkan sekolah memilih cara bagaimana ia menjalankan aktiviti visi. Visi sekolah terdapat dalam pernyataan dasar sekolah yang timbul daripada nilai dan kepercayaan sekolah. Visi dan misi sangat penting di dalam sesebuah sekolah, ini merupakan matlamat sekolah dan hala tuju sekolah sesebuah sekolah. Visi dan misi mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dalam membentuk wawasan sekolah dan merupakan pemangkin setiap warga sekolah untuk mencapainya. Oleh itu, nilai dan visi merupakan pengaruh yang penting dalam membentuk budaya sekolah dan  tanggungjawab warga sekolah untuk mencapainya. Ini adalah kerana nilai dan visi adalah cermin sesebuah sekolah tersebut.

Sunday, December 4, 2011

BUDAYA SEKOLAH : MERANCANG KURIKULUM

Isu utama dalam  merancang kurikulum di sekolah menengah adalah sejauh mana kurikulum dapat disampaikan dan pembelajaran murid dikendalikan oleh seorang guru di sebuah bilik darjah. Disebabkan pendekatan sekolah adalah berstrukturkan pasukan, maka unsur paling penting yang perlu diserahkan sebagai tanggungjawab individu adalah kawalan kelas ke atas masanya (Burnham,2004). Disebabkan pendekatan sekolah adalah berstrukturkan pasukan, maka unsur paling penting yang perlu diserahkan sebagai tanggungjawab individu adalah kawalan kelas ke atas masanya. Oleh yang demikian, jadual waktu yang terkawal perlu disusun bagi mengelakkan sebarang masalah. Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengarahkan semua sekolah di seluruh negara menggunakan jadual waktu anjal berdasarkan Surat Pekeliling Bil. 01/1995 (Abdullah Sani,2003). 

Pelaksanaan jadual waktu yang terkawal dapat membantu keberkesanan P&P. Antaranya;
1.         Proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan berupaya mencapai matlamatnya kerana peruntukan masa yang mencukupi untuk satu-satu mata pelajaran dalam setiap hari.
2.         Mengurangkan pembaziran waktu ketika guru bergerak dari satu kelas ke satu kelas yang lain. Faktor taburan dan reka bentuk bangunan yang mengambil kira jarak jauhnya, juga bangunan yang bertingkat-tingkat malah daripada bilik guru sendiri dapat berlaku pembaziran masa.
3.         Peruntukan 2 hingga 3 waktu bagi satu mata pelajaran dapat memberikan ruang masa yang cukup bagi menghuraikan satu-satu topik yang hendak diajar dan menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan.
4.         Dapat mengurangkan kekerapan pelajar yang suka keluar dari kelas sewaktu pertukaran guru.

Namun begitu pelaksanaan dan keberkesanan yang akan terhasil bergantung kepada kebijaksanaan pemimpin sekolah semasa menyusunnya.           

Sekolah-sekolah di Malaysia mempunyai persamaan daripada segi, kurikulum, bentuk bangunan, kelayakan guru, dan prasarana. Namun yang membezakan sekolah ialah unsur budaya sekolah dan unsur inilah yang dikatakan penentu pada keberkesanan sekolah   
                                                                                              (Bolman & Deal, 1991)

Contoh budaya sekolah yang dibentuk oleh sesebuah sekolah untuk memperkasakan kurikulum sekolah;
      Memanjangkan waktu persekolahan: Sebuah sekolah di Boston iaitu Clarence Edwards Middle School
      Membina budaya membaca di Parkdale Midle School
      SMKA(P) Kangar: Program 10 Minit Bersama Buku

Namun begitu, perancangan yang berkualiti sahaja tidak cukup jika pelaksanaannya tidak menampakkan satu budaya yang jelas dan difahami oleh semua ahli komuniti. Sebagai contoh di Sekolah Clarence Edwards Middle School, sekolah ini telah melaksanakan segala perancangan yang telah dibincang bersama dan perubahan yang dilakukan melibatkan kesemua ahli komuniti sekolah. Terdapat sepuluh kunci yang telah ditekankan oleh mereka dalam mengorak perubahan dan sebahagian daripadanya adalah;

1.      Sekolah mesti peruntukkan lebihan masa yang banyak iaitu sekurang-kurangnya 300 jam setahun, kira-kira 1 jam 45 minit.
2.      Mesti bersatu padu dan sepakat untuk menggubal semula jadual waktu.
3.      Sekolah mesti mengutamakan dan fokus kepada pembelajaran lebih masa seperti yang dijanjikan bersama untuk memberi manfaat kepada pelajar.
4.      Sekolah perlu mengubah jadual untuk semua pelajar supaya tiada pelajar merasakan bahawa dirinya berada dalam ‘tahanan’.
5.      Pelajar di dalam kelas perlulah mempunyai tahap akademik yang setara, guru pula perlu mahir dalam bidang yang diajar serta kumpulan tutor dalam saiz yang kecil atau perseorangan.
6.       Sekolah perlu melibatkan guru yang efektif
7.      Sekolah mestilah mengubah kepercayaan dan tingkah laku guru dan pelajar.

Dalam masa tiga tahun, sekolah ini akhirnya dapat mengubah prestasi sekolah jauh lebih baik dari sebelumnya dan sekolah ini telah menjadi ikutan sekolah lain untuk melanjutkan waktu pembelajaran. Jelasnya, sesebuah sekolah dapat melonjak jauh sekiranya setiap ahlinya bersedia melakukan perubahan untuk membina budaya sekolah baru selari dengan matlamat mereka yang jelas.

Saturday, December 3, 2011

BUDAYA SEKOLAH : FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHINYA


 
Faktor Kepimpinan Sekolah
Menurut Porth (2000), budaya sesebuah sekolah banyak dipengaruhi oleh sikap pemimpinnya. Pemimpin yang akan menentukan matlamat dan hala tuju sekolah tersebut. Pemimpin yang bersemangat tinggi , sedar tanggungjawab beliau kepada staf, murid, ibubapa dan masyarakat , sedar tanggungjawab kepada bangsa dan masyarakat sudah tentu akan memainkan peranan untuk membentuk budaya kerja yang cekap dan seterusnya budaya sekolah yang cemerlang. Pemimpin sekolah perlu memastikan keperluan semua guru dan aspek kesediaan di ambil perhatian. Usaha untuk membentuk budaya sekolah gaya kepimpinan juga perlu berubah dari autokratik kepada distributif. Pemimpin yang mengamalkan perkongsian kepimpinan akan melihat keupayaan, kebolehan subordinatnya sebagai satu aset untuk membentuk budaya kerja profesional dan prestasi tinggi. Hussein Mamood (1993), mengatakan kejayaan dan kegagalan sesebuah sekolah di Malaysia banyak bergantung kepada pihak sekolah iaitu guru besar, guru-guru tetapi kepimpinan guru besar adalah dikenalpasti sebagai pemboleh ubah yang penting sekali yang mempengaruhi kualiti dan kuantiti hasil sekolah.

Disokong  kajian Huber (2004) sekolah yang diklasifikasikan sebagai berjaya mempunyai pemimpin sekolah yang kompeten dan sebaliknya sekolah yang tidak berjaya, tidak mempunyai pemimpin sedemikian. Lewis dan rakan-rakan (2008), mencadangkan lima set amalan yang membentuk teras asas amalan kepimpinan yang berjaya iaitu menetapkan hala tuju, membangunkan keupayaan manusia, mereka bentuk semula organisasi, mengurus program pembelajaran, dan perilaku kepimpinan. Pertama, menetapkan hala tuju organisasi di mana pemimpin yang menetapkan hala tuju yang jelas akan memberikan impak kepimpinan yang besar. Terdapat banyak masalah yang timbul sekiranya pemimpin sekolah tidak menjalankan peranannya dan  menyerahkan tanggungjawab beliau di sekolah kepada pekerja-pekerja di bawahnya. Fenomena ini akan membentuk satu budaya kerja yang tidak cekap dan selaras. Kerjasama antara staf sukar dibentuk kerana setiap orang mempunyai pelbagai pendapat. Pelbagai masalah akan timbul sekiranya ketua dalam organisasi tersebut tidak memainkan peranan beliau.

Faktor Kepimpinan Guru
Dalin (1993) juga menyarankan individu yang pertama perlu berubah dalam pembentukan sesebuah budaya ialah  guru. Kesediaan guru untuk berubah mencari, belajar dan menguasai ilmu baru akan meningkatkan keupayaan, kebolehan, kredibiliti guru untuk merubah budaya pembelajaran murid secara keseluruhannya. Kebiasaannya, pelajar menjadikan guru sebagai “role model ” mereka kerana mereka menganggap guru sebagai golongan yang berpendidikan dan berfikiran jauh ke hadapan. Stolp (1995), kepimpinan guru dapat mempengaruhi pelajar ke arah situasi pembelajaran yang menggalakkan serta membentuk cara budaya pelajar yang sesuai. Tambahan pula, pengaruh guru terhadap pelajar sangat besar sehinggakan kadangkala kepercayaan yang diberikan oleh pelajar kepada mereka tinggi berbanding daripada ibu bapa sendiri. 

 Menurut Bath(2001) guru adalah pemimpin yang berperanan sebagai agen perubahan. Guru melakukan perubahan ke atas sekolah dan bilik darjah. Selain itu, guru juga memainkan peranan sebagai pemimpin, inventor, pengajar, pengurus dan fasilitator kepada pelajar. Melalui peranan-peranan  tersebut, secara tidak langsung guru dapat menggabungkan elemen budaya seperti nilai, norma, bahasa, kepercayaan, simbol, pengetahuan dan lain-lain. Apabila sifat budaya yang diterapkan oleh guru menjadi ikutan pelajar, maka amalan ini akan membina budaya sekolah

Faktor Disiplin Sekolah
Abdullah Sani Yahaya (2003), budaya sekolah amat berkait rapat dengan disiplin sekolah. Jika budaya sekolah baik, maka wujudlah disiplin yang baik dengan zero defect dalam semua aktiviti pendidikan, iaitu tiada masalah P&P, tiada konflik, tiada pelanggaran disiplin, tiada masalah keceriaan sekolah dan sebagainya. Terdapat banyak masalah disiplin yang sering dilakukan oleh pelajar. Salah laku yang ditunjukkan oleh pelajar banyak ragam seperti datang lambat ke sekolah, ponteng kelas, mencalarkan kereta guru, tidak memakai lencana sekolah dan tidak menghormati guru. Semuanya melibatkan masalah disiplin yang kecil dan masih boleh diperbaiki di mana boleh dikatakan pelajar ini adalah pelajar nakal. Tetapi berlainan pula dengan kes memukul guru, mengugut bunuh, merokok, menghisap dadah atau ganja, merompak dan banyak lagi yang belum didedahkan. Kebiasaannya, apabila pelajar terlibat dengan masalah disiplin akan menyebabkan mereka  hilang minat untuk belajar apatah lagi memikirkan masa depan. 

Menurut Tajul Ariffin (1990), masalah kemerosotan akhlak dan disiplin pelajar sering ditimbulkan. Masalah ini sekaligus membawa gambaran negatif kepada sistem pelajaran kita. Punca utama masalah ini ialah penekanan konsep pelajaran yang keterlaluan kepada isi pelajaran, lulus periksa, pengkhususan yang terhad dan menumpukan kepada perkembangan intelek dan kemahiran semata-mata. Persoalan pembinaan sikap, akhlak dan disiplin diabaikan. Jadi, pelaksanaan disiplin atau peraturan sekolah adalah penting untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang selesa dan harmonis. Sekolah mempunyai suasana disiplin yang teratur tanpa perlu membina peraturan ketat, tenang tanpa penindasan yang secara amnya adalah selesa untuk suasana proses pembelajaran.  Ibrahim Mamat (2001), proses penyerapan disiplin yang dilaksanakan perlu mengambil kira 4 perkara iaitu matlamat, corak, kaedah dan kesan. Matlamat akhir yang ditekankan ialah mewujudkan pelajar seimbang yang serasi dengan masyarakat dan bukan yang mengenetepikan segala nilai dan norma yang dianuti

Friday, December 2, 2011

BUDAYA SEKOLAH : MEWUJUDKAN IKLIM SEKOLAH YANG POSITIF


IKLIM & PERSEKITARAN SEKOLAH

Sudah menjadi fitrah setiap manusia yang cinta akan sesuatu yang cantik, bersih dan ceria. Begitulah juga dengan pelajar-pelajar sekolah yang memerlukan persekitaran sekolah yang baik bagi merangsang pembentukan jiwa yang tenang dan aman dalam menimba ilmu pengetahuan. Jadi tidak hairanlah mengapa pihak pengurusan sekolah amat menekankan aspek iklim dan persekitaran sekolah yang baik. Mana mungkin pelajar dapat belajar dengan tenteram sekiranya persekitaran sekolahnya kucar kacir, kotor, berbau dan bising. Di tambah pula dengan hubungan antara pelajar dengan guru yang sentiasa tegang, guru yang tidak mesra, sikap pelajar yang nakal dan suka bergaduh. Hal ini boleh menyumbang ke arah pemerosotan prestasi pelajar, masalah ponteng dan disiplin pelajar yang sukar untuk dibendung kesan daripada iklim dan persekitaran sekolah yang negatif. Pusat Perkembangan Kurikulum (1981) mendefinisikan ‘iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik di mana keadaan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar’. Sebuah sekolah boleh mengalami iklim positif dan negatif (Smith, 1995). Pada kebiasaanya, sebuah sekolah yang iklimnya dianggap positif mempunyai ciri-ciri fizikal sekolah yang bersih dan menarik, hubungan sosial yang baik antara semua warga sekolah serta suasana kerja yang produktif. Manakala iklim negatif atau tertutup lazimnya mempunyai keadaan sekolah yang kucar-kacir, kurang selamat, tidak tenteram dan teratur, malah sering menghadapi konflik dan masalah disiplin (Mok Soon Sang, 2003).

            Usaha untuk mewujudkan suatu iklim yang sihat amat penting dalam membina sekolah yang berkesan. Salah satu aspek penting dalam iklim persekolahan adalah faktor keceriaan. Menurut Kamus Dewan, ceria dapat diertikan sebagai sesuatu yang cantik, bersih, suci dan murni dalam sesuatu ruang atau kawasan tertentu. Manakala menceriakan bermaksud menjadikan sesuatu ruang atau kawasan tertentu kelihatan ceria, bersih, dan cantik dengan mengindahkannya, memurnikan, menyucikan serta mendidik dan memelihara. Oleh hal yang demikian, semua warga sekolah patut berganding bahu dalam mewujudkan iklim sekolah yang positif dengan mengindahkan kawasan sekolah seperti menanam pokok-pokok bunga, memelihara kebersihan, melukis mural yang sesuai serta menghiasi bilik darjah dengan pelbagai bahan pengajaran yang menarik (Abdullah Sani bin Yahya, 2007). Sekiranya keceriaan sekolah tidak dijaga, hal ini akan mewujudkan suasana sekolah yang ‘mati’ dan membosankan apabila kita menjejakkan kaki ke kawasan sekolah tersebut. Dengan keadaan sekolah yang tidak teratur, rumput-rumput tumbuh meliar dan panjang, kereta dan basikal yang tidak tersusun, bilik darjah, tandas dan makmal yang kotor, cermin-cermin tingkap yang penuh dengan debu, longkang yang tersumbat dan berbau busuk serta kawasan sekolah yang penuh dengan sampah sarap. Iklim sekolah yang sebegini akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah seterusnya menggambarkan bagaimana sikap dan budaya negatif warga sekolah tersebut.


            Pada amnya, iklim dan persekitaran sekolah akan membawa pengaruh yang penting terhadap pembentukan tingkah laku, imej mental, aspirasi dan interaksi sosial bagi anggota-anggota di dalamnya (Abdullah Sani bin Yahya, 2007).  Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa sekolah yang berpencapaiaan tinggi mempunyai tahap keceriaan yang lebih baik berbanding sekolah yang persekitarannya kurang ceria (Mohd Redzauddin bin Ismail, 2008). Oleh hal yang demikian, suasana dan iklim sekolah adalah amat penting dalam membantu pelajar untuk belajar dengan tenteram dan selesa. Selain itu, apabila kawasan persekitaran sekolah yang cantik dan ceria, pelajar tidak akan jemu untuk hadir ke sekolah lagi kerana merasa bahagia berada di kawasan sekolah. Hal ini bukan sahaja dapat mengelakkan masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar malah masalah disiplin pelajar dapat dikurangkan kerana emosi pelajar tidak terganggu. Dalam masa yang sama, sesebuah sekolah yang cantik dan menarik pasti akan mendapat pujian daripada pelbagai pihak terutamanya ibu bapa pelajar yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Mereka akan bertambah yakin dengan pihak pentadbiran sekolah yang mampu mewujudkan suasana sekolah yang kondusif bagi membantu proses pembelajaran anak-anak mereka.

            Sememangnya sudah menjadi impian untuk setiap warga sekolah untuk menjadikan sekolah masing-masing yang terbaik di antara yang terbaik. Tetapi tidak dinafikan terdapat halangan-halangan tertentu dalam merealisasikan hasrat tersebut. Salah satu halangan tehadap melaksanakan sesuatu projek keceriaan biasanya timbul daripada masalah kewangan. Dalam hal ini, semua pihak patut bekerjasama termasuklah, pengetua, guru-guru, staf-staf sekolah, para pelajar dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Pihak sekolah perlu berusaha mencari penaja, pelajar pula boleh menjalankan kutipan derma melalui program-program tertentu, guru-guru pula membantu para pelajar menjalankan program-program amal. Selain itu, gotong-royong secara berkala, pertandingan keceriaan kelas, membersihkan kawasan sekolah 5 minit sebelum kelas bermula, mampu memastikan kebersihan dan keceriaan kelas di tahap yang baik. Kadang kala halangan untuk mewujudkan budaya cinta akan kebersihan dan keceriaan sekolah adalah berpunca daripada segelintir guru dan para pelajar yang enggan memberikan kerjasama. Oleh itu, sikap dan gaya kepimpinan pihak pengurusan sekolah yang berwibawa seharusnya mampu menangani halangan ini dengan sebaiknya. Sekiranya iklim dan persekitaran sekolah dalam keadaan yang bersih dan ceria, sudah pasti motivasi dan prestasi pelajar dapat ditingkatkan ke tahap yang optimum seterusnya mewujudkan budaya sekolah yang positif.

Thursday, December 1, 2011

KEPENTINGAN BUDAYA SEKOLAH

Peranan budaya sekolah memang tidak dapat dinafikan lagi, budaya sekolah banyak memberi pengaruh dan impak kepada warga sekolah terutamanya dari segi pencapaian, emosi dan  juga tingkah laku.  Kemajuan dan pencapaian sekolah dapat ditingkatkan melalui penglibatan, kerjasama dan juga kepercayaan.  Menurut (Comer, 1980) pendidik perlu bekerjasama bagi melahirkan sekolah yang produktif dan seronok dihuni.  Research for Better School telah melakukan kajian pada 200 buah sekolah cemerlang di Amerika Syarikat dan telah menyenaraikan beberapa ciri budaya yang dimiliki oleh sekolah-sekolah tersebut iaitu sekolah menyediakan kemudahan-kemudahan yang maksimum kepada pelajar, kurikulum berfokus kepada isi kandungan dan kemahiran, kepimpinan menyediakan visi dan sumber, guru-guru disediakan dengan sumber-sumber yang mencukupi dan sekolah tidak menerima sebarang alasan (Yahya bin Don, Aziah Ismail, Yaakob Daud, 2006).  Semua ciri-ciri ini mempunyai hubungan dengan budaya sekolah yang positif dan seimbang.  

            Yahya bin Don, Aziah Ismail, Yaakob Daud (2006) menyatakan kepentingan budaya sekolah dijelaskan dan diperkukuhkan lagi oleh The Southwest educational Laboratory (SEDL) iaitu membantu usaha menambah baik sekolah bagi pelajar yang berisiko, menyediakan fokus dan tujuan sekolah yang jelas kerana budaya menjadi gam yang mengikat ahli bersama bagi menjayakan misi sekolah, budaya juga boleh menjadi penghalang kepada kejayaan sekolah dan budaya boleh mewujudkan penindasan dan diskriminasi kepada sub kumpulan dalam sekolah, sekolah yang menginginkan kemajuan perlu memberi fokus kepada nilai-nilai, kepercayaan-kepercayaan dan norma-norma serta persekitaran dan juga perlu menitikberatkan perubahan yang fundamental.  Kepentingan tentang budaya di sekolah juga telah dipersetujui dan diperkukuhkan lagi dengan Stolp (1995) yang menjelaskan budaya sekolah yang sihat mempunyai hubungan yang kuat dengan pencapaian akademik dan motivasi, produktiviti dan kepuasan guru.  Selain itu kepentingan budaya sekolah juga terbukti melalui kajian demi kajian yang menunjukkan sekiranya budaya sekolah tidak menyokong pembaharuan yang diperkenalkan, pembaharuan itu akan gagal. 


BUDAYA SEKOLAH MENGHALANG KEPADA SESUATU PERUBAHAN 
Namun di sebalik kepentingannya, budaya sekolah juga boleh menjadi penghalang kepada perubahan yang ingin dilakukan jika perubahan tersebut tidak selari dengan budaya yang telah sedia wujud.  Patterson, Purkey dan Parker (1986) menjelaskan budaya sekolah akan memberikan kesan terutamanya kepada tingkah laku dan pencapaian pelajar di sekolah rendah dan menengah, budaya sekolah tidak turun dari langit tetapi ia dibentuk dan dimanipulasikan oleh orang dalam sekolah, budaya adalah unik, justeru tidak mungkin sesebuah sekolah mempunyai budaya yang sama dengan budaya yang lain, menyediakan fokus dan tujuan yang jelas, budaya menjadikan ikatan antara warga sekolah demi memenuhi misi sekolah.  


FAKTOR PENGHALANG PEMBENTUKAN BUDAYA SEKOLAH 

Selain itu, terdapat juga beberapa perkara yang menjadi penghalang kepada pembentukan budaya yang baru di sekolah di antaranya ialah sesuatu budaya yang telah wujud memang sukar untuk diubah, disiplin penghalang besar kepada kejayaan sekolah, bekerja dengan orang yang terpaksa dan birokrasi pendidikan menghalang pendidikan awam berkembang serta terdapat guru yang menyatakan bahawa mereka telah melakukan yang terbaik di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Di samping itu juga, Patterson, Purkey dan Parker (1986) menyatakan bahawa terdapat beberapa andaian yang selalu dilakukan oleh warga pendidik yang menjadi penghalang kepada pembentukan baru budaya di sekolah iaitu sistem sekolah dipandu oleh matlamat yang sama, kuasa dalam sistem sekolah terletak di pihak atasan (mereka menafikan perkongsian kuasa), alternatif ataupun modifikasi kepada penyelesaian masalah tidak dicari, untuk setiap masalah hanya ada satu penyelesaian dan mempercayai bahawa masyarakat tidak banyak membantu sistem sekolah dan menafikan peranan ibu bapa di sekolah.  Semua andaian-andaian ini telah mempengaruhi tindakan warga sekolah dan menjadikan sekolah mundur. 

 Justeru itu Patterson, Purkey dan Parker (1986) telah memberikan beberapa saranan bagi membaiki andaian-andaian tersebut iaitu kuasa di sekolah perlu diagihkan kepada segala lapisan organisasi, keputusan yang dibuat adalah satu proses tawar-menawar ke arah mencari penyelesaian yang terbaik dan memuaskan ramai pihak, masyarakat sebenarnya amat berpengaruh dan kadangkala dengan cara yang tidak dijangka serta pelbagai cara yang digunakan oleh guru bagi mengajar dengan berkesan.  

Kesimpulannya, Bart (2002) menjelaskan segala inovasi dengan meletakkan budaya sebagai piawai yang tinggi tidak banyak membawa kejayaan kecuali pentadbir dan guru berusaha mengubah budaya sekolah.  Segala inovasi dan piawai yang ditetapkan haruslah perlu disesuaikan dengan elemen-elemen yang telah sedia ada supaya budaya dan matlamat sekolah dapat bergerak dengan seiring selaras dengan impian sekolah. 

Wednesday, November 30, 2011

RUJUKAN PENULISAN ILMIAH BUDAYA SEKOLAH BLOG INI

Abdullah Sani bin Yahaya (1997). Mengurus Sekolah. Kuala Lumpur : PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Barth, R. (2002). The Culture Builder. Educational Leadership, 59(8): 6-11.

Comer, J.P.(1980).  School Power: : Implications of an Intervention Project. New                           York: The Free Press.

Fox, R. S. (1995). An Introduction To Teaching : Psycological Perspectives 1995. Blackwell : Oxford UK and Cambridge USA.

Kementerian Pendidikan Malaysia (1981). Kurikulum baru sekolah rendah: Matlamat, rasional, bidang pelajaran dan strategi pengajaran dan pembelajaran.  Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan Kurikulum.

Mohd Redzauddin bin Ismail (2008). Hubungan Rekabentuk Landskap Sekolah Dengan Pencapaian Prestasi Akademik Pelajar Sekolah Menengah Di Besut, Terengganu. Selangor  : Universiti Putra Malaysia.

Mok Soon Sang (2003). Peperiksaan penilaian tahap kecekapan Skim Perkhidmatan Guru : bahagian II: kompetensi khusus/fungsi (pengurusan pengajaran dan pembelajaran) Selangor  : Kumpulan Budiman.

Patterson, J. L., Purkey, S. C. & Parker, J. V. (1986).  Productive School Systems for a Nonrational World.  Alexandria, VA: ASCD.

Stolp, S. (1994) Leadership for School Culture. [Electronic version], ERIC Digest 91.    Diperoleh pada November 20, 2011 daripada  http://www.ericdigests.org/1995-    1/culture.htm

Stolp, S. dan Stuart C. Smith (1994).   School Culture and Climate: The Role of the Leader. OSSC Bulletin. Eugene: Oregon School Study Council.  

Yahya Don, Aziah Ismail & Yaakob Daud. (2006).  Kepimpinan & Pembangunan Pelajar Sekolah di Malaysia.  Kuala Lumpur: PTS Profesional